Friday, April 27, 2012

Mimpi Si Gadis...

Aisyah, isteri Nabi Muhammad adalah wanita yang amat taat kepada perintah Tuhan dan berpengetahuan 
tinggi dalam ilmu agama Islam. Beliau menjadi rujukan orang ramai bagi menyelesaikan 
pelbagai masalah terutamanya masalah hukum Fiqah wanita. Beliau juga banyak merekodkan perkataan-perkataan daripada suaminya, Nabi Muhammad. Aisyah pernah menceritakan kisah seorang gadis.




Pada suatu hari, seorang gadis yang bernama Jariah datang berjumpa Nabi Muhammad. Gadis itu kelihatan amat sedih sekali dan seakan-akan menahan sakit. Beliau berjalan perlahan-lahan sambil memegang tangan kanannya.

Sejurus tiba dihadapan Nabi Muhammad, gadis itu berkata, "Wahai Tuan Pesuruh Tuhan, tolonglah saya! Tangan saya terlalu sakit tidak tertahan rasanya. Tolonglah doakan kepada Tuhan supaya tangan saya kembali sembuh."




Nabi Muhammad mendengar rayuan gadis itu dengan penuh simpati. Nabi melihat tangan kanan gadis itu.
Tangan kanan gadis itu kehitam-hitaman seperti kesan terbakar.

"Wahai Jariah, mengapa tangan kamu hitam begini seperti terbakar?" tanya Nabi Muhammad inginkan kepastian. "Wahai Pesuruh Tuhan, sebenarnya malam tadi saya bermimpi. Selepas saya bangun dari tidur, saya dapati tangan kanan saya hitam terbakar begini," jawab gadis itu dengan sayu.

"Ceritakanlah mimpi kamu kepada saya,' pinta Nabi Muhammad.

Gadis itu sedih menahan sakit, lalu dia menceritakan mimpinya malam tadi.

"Begini, malam tadi saya bermimpi seolah-olah hari sudah kiamat. Bumi bergoncang kuat, gunung-ganang berterbangan. Saya melihat api  neraka Jahim keluar panas meluap-luap.
 Pintu-pintu syurga pula terbuka luas. Semasa api neraka keluar meluap-luap, 
saya rasa mahu pengsan kerana terlalu takut. Saya dapat melihat lubang-lubang neraka yang dalam dan amat mengerikan. Tiba-tiba, saya terlihat ibu saya berada di dalam lubang neraka itu. 
Saya terkejut dan berasa terlalu sedih melihat keadaan ibu saya. Ibu saya tersiksa di dalamnya.
 Dalam masa yang sama, saya berasa hairan kerana ibu saya seorang yang kuat amal ibadatnya semasa hidup di dunia."




"Bagaimana amalan ibumu semasa di dunia?" tanya Nabi Muhammad mahu mengetahui dengan lebih mendalam.

"Ibu saya semasa di dunia adalah seorang yang taat pada perintah Tuhan, berbakti kepada suaminya dan selalu sabar menghadapi dugaan. Ayah jua tidak pernah marah kepada ibu."

"Tetapi, mengapa ibu kamu boleh berada dalam neraka?"

"Dalam mimpi itu saya bertanya kepada ibu."

"Mengapa ibu berada di dalam neraka ini?"

Lalu, ibu saya menjawab, "Inilah tempat ibu sekarang. Inilah tempat untuk orang yang kedekut semasa hidup di dunia. Hanya secarik kain dan sepotong daging sebagai bekalan ibu disini. Ibu pernah dermakan secarik kain dan sepotong daging semasa di dunia. Secarik kain dan sepoting daging inilah sekadar menjadi pelindung panas api neraka."

"Ibu, dimanakah ayah?"

"Ayah kamu berada di dalam syurga."




 "Wahai Pesuruh Tuhan, dalam mimpi itu, saya juga berpeluang menemui ayah di dalam syurga. Di dalam syurga, saya lihat ayah sedang memberi minuman dalam sebiji gelas yang sungguh cantik kepada rakan-rakannya. Gelas itu asalnya diambil daripada tangan Ali bin Abi Talib. Ali bin Abi Talib mengambil gelas itu daripada tangan Usman bin Affan. 

Kemudian, Usman bin Affan pula mengambilnya daripada tangan Umur Khatab. Umar Khatab pula mengambil  gelas itu daripada tangan Abu Bakar al-Siddiq dan seterusnya Abu Bakar al-Siddiq mengambil gelas itu daripada Tuan."

"Ayah! Mengapa ayah begitu kejam meninggalkan ibu di dalam neraka?" saya menjerit kepada ayah kerana terlalu marah.

"Bukankah ibu adalah isteri ayah? Ibu patuh pada ayah dan rajin beribadat. Mengapa ayah tidak
memberi minuman itu kepada ibu? Ayah memberi minuman itu kepada orang lain."

"Ya, betul kata kamu," ayah menyambung kata-katanya lagi, "Ibu kamu berada di tempat orang yang kedekut, ingkar dan banyak melakukan dosa semasa hidup. Ayah tidak boleh memberikan minuman ini kepada ibu. Penghuni neraka tidak boleh minum air telaga kausthar Nabi Muhammad walaupun seteguk."

"Wahai Pesuruh Tuhan, apabila saya mendengar kata-kata ayah saya itu, saya tidak berpuas hati. 
Lalu, saya mengambil gelas daripada ayah lalu menuangkan air telaga kausthar ke dalam gelas itu. 
Saya segera pergi menemui ibu dan berikan air minuman itu kepadanya.  Ibu minum. Tiba-tiba, saya terdengar suara yang sungguh menakutkan. Suara itu berkata,

"Semoga Tuhan membakar tangan kanan kamu yang memberi minuman kepada 
orang yang berdosa dan kedekut!"

"Wahai Pesuruh Tuhan, begitulah bunyi suara itu. Lalu saya tersedar daripada tidur, "
kata gadis itu menyesal.




"Kamu sengsara di dunia kerana sifat kedekut ibu kamu," kata Nabi Muhammad dengan tegas.

Nabi Muhammad mengambil tongkatnya , lalu diletakkan di atas tanga gadis itu.

Nabi berdoa, "Ya Allah Tuhan yang maha satu, demi mimpi yang diceritakan oleh gadis ini, sembuhkanlah tangannya."

Dengan sekelip mata, tangan yang kehitam-hitaman tadi kembali pulih seperti sedia kala. Sakit yang ditanggung turut hilang. Gadis itu kembali pulih dan insaf di atas apa yang terjadi.

Imam Muslim dan abu Daud merekodkan pesanan Nabi Muhammad yang bermaksud, "Waspadalah dengan sifat kedekut! Sifat kedekut itu membinasakan umat-umat manusia terdahulu sebelum kamu. Sifat kedekut inilah menyebabkan terjadinya pertumpahan darah dan menghalalkan barang yang haram oleh Tuhan."....



P/s: marilah kita sama-sama refresh diri kita balik sama ada kita ni haji bakhil atau x! ;)

Wassalam! >.< ~





Cintai Ilahi, Syukuri Nikmat Diberi, Redha Apa Yg Terjadi, Dapat Pahala Free !^_^

0 komen budak baik: